Monday 15 October 2012

Dimana Bumi Dipijak Disitu Langit Dijunjung.

Aku dilahirkan di sebuah daerah yang berada di utara tanah air.. Selama lebih 20 tahun aku di besarkan dalam suasana yang harmoni dan aman jika dilihat dari mata kasar,, yea.. aku sangat bahagia berada disini.. mungkin suatu hari dahulu.. Tidak aku nafikan persekitaran perkampungan di sebelah utara suasananya jika dibandingkan dengan suasana bandar seperti ibu kota kita sudah tentulah jauh bezanya.. Disini anda tidak boleh menunggu bas setiap 10 minit sekali, atau menunggu LRT setiap 2minit sekali.. Segala-galanya bergerak perlahan.. anda hanya akan disajikan dengan sebuah bas merah yang lusuh pada waktu pagi iaitu semasa matahari sedang menyinsing, kemudian ketika anda sedang memikirkan sajian apa yang ingin anda masak pada tengahari nanti atau ketika anak-anak remaja mengejar ilmu pada sesi petang. Sang merah yang usang ini akan datang lagi sesudah jam 3 petang kemudian jam 5petang dan jam 7petang, jika anda bertuah sudah tentu anda akan dapat menaiki bas terakhir pada ketika itu. Bagi aku, menaiki bas yang sudah uzur ku kira pengalaman yang manis bagiku.. Walaupun aku tahu aku akan menekan loceng pabila destinasiku tuju lebih kurang setengah batu lagi jantung ku pasti berdegup deras,, selaju pacuan pakcik bas ini. Seperti yang ku jangka, walaupun aku telah menekan loceng kali pertama bas masih meluncur laju, dan aku tekan loceng kali kedua kemudian barulah aku rasa pergerakan bas kian perlahan dan berhenti dihadapan rumahku, itulah sebabnya mengapa aku selalu berdebar menaiki Sang merah yang usang ini kerana aku tidak tahu samada aku perlu berjalan patah balik setengah batu lagi atau berjalan beberapa meter lagi ke hadapan. Kampung aku sangat permai, kehijauan anak-anak padi luas terbentang dihadapan mata. Sesekali ada lintasan keratapi yang menambah seri kampungku di hujung sawah. Sejauh mata memandang kelihatan bayangan Bukit Larut yang gagah berdiri diikuti banjaran panjang tempat terbitnya matahari pagi. Bilah-bilah cahayanya sesekali menebusi dedaun kelapa sawit yang menghijau di belakang perumahan kami. Keredupannya sudah tentu memberi rasa yang dingin dan udara yang nyaman. Rumahku tidak sunyi dengan kokokan ayam atau bebelan burung murai yang mencari makanan. Di atas pohon Ceri itu tempat mereka bermain bersama burung madu yang lebih kecil saiznya. Paruhnya yang panjang dan kecil itu dihulurkan ke dalam bunga ceri yang bari mekar. Aku kadang-kala berebut kemanisan buah ceri yang merah menyala dengan haiwan kecil ini. Kadang-kala hampir semua buah yang merah berkesan tebukan. Walau sedikit hampa tapi tidak mengapa melihat telatahnya sahaja buat aku bersyukur kerana di beri nikmat kehidupan bersama sang kecil itu. Sebagai tanda terima kasih aku fikir tidak lama kemudian sang kecil ini bersarang di atas lebihan dawai yang ku buat untuk mengikat jendela. sarangnya kecil sahaja diperbuat dari daun-daun kering dan anyaman kekabu berbentu seperti sarang tempua betul-betul di hadapan jendela kamarku. aku perlu lebih berhati-hati sewaktu menguak jendela. Sang ayah dan ibu saling bergilir menjaga zuriat mereka. Aku juga turut membantu melihat kalau-kalau kucingku pula yang mengganggu mereka. Aku sempat melihat anaknya menetas, ia sangat kecil dan comel. mulutnya sentiasa ternganga meminta makanan. Di atas tiang elektrik sang Raja Udang bertelegu sendiri menanti mangsa untuk timbul menonjol diri. Dalam kehijauan padi Sang bangau diam membatu diri mencari rezeki mengalas perut. Kawanan ini akan membelah langit petang untuk pulang ke rumah. Terkadang jumlahnya berpuluh-puluh. Aku akan sambung lagi cerita ku bila ada kelapangan.. InsyAllah.

No comments:

Post a Comment